Friday, November 6, 2015

Nasi Beriani Gam

Nasi Beriani Gam atau masakan nasi beriani Melayu dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu oleh pedagang-pedagang Arab melalui Singapura. Nasi beriani dimasak menggunakan beras panjang bersama rempah ratus yang digoreng sebelum ditanak berasnya. Nasi beriani asal usulnya dari perkataan Parsi 'baria' bermaksud memasak atau merebus makanan. Masakan ini dikatakan berkembang dari Parsi ke Timur Tengah dan mendapat tempat istimewa di India oleh kerajaan Mogul.

Nasi Beriani Gam, juga dinamakan Nasi Beriani Dam atau Dum, di masak dengan memasukkan ketulan daging yang telah diperap semalaman di dalam periuk bersama 'lapisan' beras. Hasilnya, nasi beriani gam berasa herba rempah, dan berpati lemak dan 'manis' daging. Mungkin disebabkan oleh kemasukkan resipi ini melalui Singapura, rakyat Melayu Negeri Johor memperbaharui resipi ke selera Melayu maka terciptalah Beriani Gam Johor

Pada masa sekarang, Nasi Beriani atau Nasi Beriani Gam mendapat tempat di Malaysia sebagai makanan istimewa untuk keluarga ataupun untuk keraian seperti majlis perkahwinan, majlis keraian atau majlis kenduri-kendara.

Kalau sebut Nasi Beriani, pasti negeri Johor adalah destinasi utama untuk melepaskan selera. Orang Johor ni sebenarnya dah lali dengan nasi beriani ni, sebab setiap hujung minggu pasti akan dapat menikmati beriani di rumah kenduri khawin. 

Destinasi utama untuk menikmati nasi beriani yang di katakan 'power' adalah di Batu Pahat. Kalau sebut Batu Pahat pasti dah terbau-bau aroma beriani memanggil-manggil. Penggunaan minyak sapi atau minyak Gee dalam penyediaan nasi beriani ni lah yang membuatkan segelintir tak berapa suka sangat makan nasi beriani. Kalau kerap makan keraplah sakit kepala menyerang.

Nasi beriani ni tak sama cara penyediaannya seperti nasi minyak. Walapun rupanya seakan-akan tapi bagi warga Johor pasti dapat membezakan antara nasi beriani dan nasi minyak. Nasi beriani ni untuk memasaknya biasanya lauknya di masak terlebih dahulu. Kemudian lauk itu akan di masukkan kedalam periuk kukus yang di sebelah bawah. Nasik pula di tanak di atas periuk lauk tadi dan di antara nasi dan lauk itu pula di alaskan dengan kain yang di salutkan dengan kanji atau gam, kerana itulah di panggil nasi beriani gam.

Cara menghidangnya juga sedikit berbeza, kerana lauk di letakkan didalam nasi dan di kambus atau di tutup dengan nasi briani semula.
Seperti nasi minyak, nasik beriani juga di makan bersama lauk beriani, kuah dal dan acar.







No.18, Jalan Tukas 2,
Taman Soga,
83000 Batu Pahat, Johor.

07-4388987 / 433 1225
012-7120987 / 019-3567359

Waktu operasi Selasa - Ahad
10am - 7pm

Mee Racun

Mee Racun. Ya,jangan terkejut pulak. Itulah istimewanya negeri Johor Darul Takzim ni. Anda akan dapat menikmati pelbagai makanan yang enak dan lazat yang pasti sukar anda temui di tempat lain. Johor terkenal dengan syurga makanan sejak zaman berzaman lagi. Kalau nak disenaraikan tentu panjang berjela-jela makanan istimewa dari Johor.

Oleh kerana itu jika anda berpeluang singgah di negeri Darul Takzim ini jangan lepaskan peluang untuk merasa akan keenakkan setiap masakan yang terdapat di sini. Apa yang pasti cari yang asli supaya anda dapat merasakan kepuasannya. Pastinya mendengarkan saja nama Mee Racun sudah mengerunkan kerana dikhuatiri akan membawa maut. Tapi, Mee Racun 3G ni berbeza walau namanya menyifatkan ciri-ciri bahaya kerana makanan ini sama sekali tidak membawa maut malah membawa kenikmatan dan kelazatan.




Mee Racun memang cukup terkenal di Batu Pahat Johor. Masakan istimewa ini telah melangkau ke 3 generasi, dan tidak hairanlah kini kedai ini di namakan Kedai Mee Racun 3G. Pasti ramai yang ingin tau. Bagaimanalah rupa mee racun yang dikatakan istimewa ni kan. Jom. jom. Kita intai-intai pula bagaimanalah rupanya.







Di atas tu ada 2 contoh menu yang disediakan . Hidangan makanan satu pinggan memang banyak pulak tu satu pinggan besar. Memang lepas makan pasti tersandar kekenyangan. Gambar pertama mee racun biasa, mee kuning bersama kuah yang mengacam habis di gandingkan pula bersama telur goreng hancur, kentang, daging tauhu dan lain-lain. Yang kedua tu istimewa sikit sebab ada tulang. Sedapnya menghirup sum-sum tulang dengan straw. Berpeluh-peluh menikmatinya. 

Kedai ini beroperasi dari pukul 7 pagi hingga pukul 2 pagi. Dibuka setiap hari kecuali hari Ahad. Suasana kedai cukup selesa dan tahap kebersihan juga sangat baik. Layanan juga cukup istimewa terutamanya dari kak Mi yang ramah-tamah. Kalau nak cari kedai ni, tak lah susah sangat. Cari Hotel Pinetree dan kedai ini berhadapan dengan hotel tersebut. Tempat letak kereta tak usah bimbang kerana terdapat ruang untuk meletakkan kenderaan yang tidak jauh dari kedai.

Resepi milik datuk nenek mereka asalnya di usahakan di gerai asal mereka di Jalan Sultanah Batu Pahat Johor. Kini setelah 3 generasi berlalu mereka telah memiliki 3 cawangan yang diusahan oleh mereka adik beradik, satu terletak di Taman Seri Jaya, satu lagi berdekatan Bomba Batu Pahat dan satu lagi kedai kak Mi yang terletak di Jalan Timah Sari.

Resipi untuk membuat Mee Racun

Bahan-bahannya

600 g mee kuning 
Telur goreng ~ tambahan untuk di makan bersama 
Tauhu goreng ~ tambahan untuk di makan bersama 
Sawi atau kubis ~ tambahan untuk di makan bersama (dicelur) 
Daun sup dan daun bawang ~ tambahan untuk di makan bersama 
1/2 kg daging di rebus ~ ( jika guna batang pinang tak payah rebus) 
1/2 kg tulang di rebus 

Bahan Kisar 

4 ulas bawang merah ~ lebihkan bawang merah supaya kuahnya manis sedikit
3 ulas bawang putih 
1/2 inc halia 
4 sudu besar lada boh ~ cili kering 
5 sudu besar sos tomato
4 sudu besar sos cili 
1 kiub ayam ~ gantikan dengan kiub daging 
1 sudu besar gula ~ yang ni boleh ikut citarasa masing-masing, tapi mee racun ni kuahnya sedikit manis 
sedikit garam 
1 buku gula melaka yang sederhana besar ~ tambah untuk sedikit rasa lemak manis 
sedikit serbuk lada sulah 
sebiji tomato ~ lebihkan sedikit tomato buah dan kurangkan sos tomato 

Kaedah penyediaan

Mula-mula kita rebus dahulu tulang kambing hingga empuk. Jika tak suka kambing boleh gantikan dengan tulang lembu. Jika guna daging batang pinang jadi tak perlu rebus daging tu sebab daging batang pinang ni dia lembut dan tak perlu di rebus. 
Sememtara kita tunggu tulang dan daging empuk, bolehlah kita sediakan bahan tumis. 
Dalam kuali, tumis bahan kisar hingga garing dan naik bau. 
Masukkan lada boh, tumis hingga garing. 
Kemudian bila dah terbit minyak barulah kita masukkan air rebusan tulang kambing tadi, masukkan sekali daging dan tulangnya. Masukkan terus daging batang pinang yang dipotong kecil. 
Masak hingga ia merenih 
Kemudian masukkan sos tomato dan sos cili biar mendidih 
Tambahkan gula melaka , gula, garam secukup rasa, kiub ayam atau daging dan serbuk lada sulah. Masak hingga kuah agak pekat masukkan kobis dan tomato. 
Bagi yang nak masak secara halakat, boleh terus masukkan mee dan sawi. Tapi bagi yang nak masak kuah banyak mee dan sawi tu kita celur sahaja.
Dah siap. 
Mudah aje kan. 




Mee Racun 3G
No 2, Jalan Timah Sari
Kg Kenangan Dato Onn 1
83000 Batu Pahat
Johor Darul Takzim

Telefon:
Nuridza : 017 ~ 7688931
Norjahan : 012 ~ 784 9653
Mahir : 019 ~ 7999516

Masa Operasi : 7 pagi hingga 2 pagi
Dibuka setiap hari kecuali hari Ahad